Thursday, August 12, 2010

Pendidik Merealisasikan Akademik Terbilang.

Pendidik adalah arkitek sosial yang mempunyai agenda besar dalam melaksanakan proses pendidikan secara berkesan. Fokus utama perlu ditumpukan terhadap aspek perkembangan emosi, keluhuran rohani, kekuatan mental, keutuhan keimanan dan ketakwaan, kemantapan budaya dan moral, kemampanan jati diri dan semangat patriotik yang kental. Dalam proses membina agenda ini, pendidik mestilah berjiwa besar kerana tugas ”memanusiakan manusia” ini adalah sangat kompleks dan mencabar.

Sebahagian besar pemikir dan penulis futuristik bersetuju bahawa negara yang bercita-cita tinggi dan mahu memimpin abad ke-21 mestilah membangunkan generasi bermaklumat, berpengetahuan, saintifik dan berbudaya sains serta tinggi budaya ilmu. A.Toffler (1980), Stonier (1983), Naisbitt (1983), Higgin (1998), Valida (2000) dan Anderson (2000) telah merumuskan bahawa komuniti berilmu akan menguasai abad ke-21 kerana kecemerlangan pengetahuan, kekayaan maklumat dan berbudaya saintifik.

Kerjaya pendidik masakini adalah semakin mencabar dalam membentuk pelajar yang mampu mendepani cabaran semasa. Harapan ini adalah selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, gagasan negara Wawasan 2020. Matlamat pendidikan telah digariskan seperti berikut:

-Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
-Melahirkan insan berilmu, beriman, berakhlak mulia, dan berketrampilan.
-Menyediakan sumber tenaga manusia untuk kemajuan negara.
-Memberikan peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

Pendidik masa kini mestilah mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Pendidik juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.”

Dipetikan daripada Buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang.

No comments:

Post a Comment