Thursday, August 19, 2010

Isu semasa

KERAJAAN akan meningkatkan lagi guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015.

Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015.

Tawaran Baru ini mengandungi tiga elemen:

• Peluang kenaikan pangkat yang cepat berdasarkan kecekapan dan prestasi;

• Meningkatkan pembangunan profesional berterusan (CPD) secara sistematik kepada semua guru; dan

• Kaedah pengurusan prestasi baru yang lebih mantap. Kemajuan Kerjaya Lebih Cepat Berasaskan Kompetensi Kemajuan kerjaya yang perlahan merupakan antara sebab utama siswazah di Malaysia tidak memilih kerjaya perguruan.

Sepanjang 30 tahun perkhidmatan, kebanyakan guru menikmati hanya satu atau dua kali kenaikan pangkat sahaja.

Mengikut dasar kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan, pada kebiasaannya guru mengambil masa selama 10 tahun untuk dinaikkan daripada gred permulaan ke gred jawatan yang seterusnya.

Kemajuan kerjaya yang cepat untuk guru berprestasi tinggi adalah penentu untuk menjadikan profesion keguruan lebih menarik terutama kepada calon guru yang berpotensi tinggi.

Pendekatan ini juga membolehkan lebih ramai guru berpeluang mencapai gred yang lebih tinggi dalam masa yang singkat dan dengan ini boleh membimbing guru baru lebih awal.

Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan.

Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan.

Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Dipetik dari Portal Pendidikan Utusan...

Thursday, August 12, 2010

Pendidik Membentuk Generasi Mulia.

Pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan generasi yang akan mengambil alih tugas dan peranan daripada generasi semasa. Matlamat dasar pendidikan bukan semata-mata bertujuan untuk membekalkan generasi baru dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk menyemai nilai-nilai hidup yang boleh menentukan jaya atau tidaknya masyarakat dan bangsa masa hadapan. Jika nilai-nilai yang disemai itu murni dan bermoral , maka akan terbentuklah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai tersebut. Sebaliknya, jika nilai-nilai yang diterapkan tidak berlandaskan etika moral dan akhlak yang terpuji, masyarakat kita di masa hadapan akan mengalami keruntuhan dari segi moral. Hal ini kita maklum telah berlaku di negara-negara yang dikatakan maju. Masyarakat tersebut kini mula sedar tentang peri pentingnya nilai-nilai murni sejagat dan oleh kerana itu Islam kian berkembang ikutannya di negara-negara tersebut. Di Malaysia, usaha menerapkan nilai-nilai Islam telah lama diperkenalkan. Dasar ini akan terus dipertingkatkan untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan etika moral yang tinggi dalam kehidupan. Kerajaan berharap dasar ini akan mampu membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, yang menekankan nilai-nilai positif dan seimbang dalam apa juga tindakan.

Dalam aspek pendidikan, adalah menjadi hakikat bahawa ibu bapa bertanggungjawab untuk menyemai nilai- nilai hidup yang baik. Akan tetapi sistem pendidikan mampu menyediakan orang-orang yang lebih terlatih, bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga dalam proses menyemai dan menerap nilai- nilai murni dan pembentukan akhlak mulia. Oleh kerana itu Kerajaan telah lama memperkenalkan konsep kepimpinan melalui tauladan. Penuntut memerlukan contoh atau role model untuk mereka ikuti. Justeru, sistem pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyediakan tenaga pendidik yang mampu membentuk generasi baru, yang bukan sahaja lebih berpengetahuan tetapi juga mempunyai peribadi yang unggul sebagai contoh ikutan masyarakat yang rata-rata memandang tinggi terhadap golongan pelajar.

Pendidik bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada murid dan penuntut. Pendidik bertanggungjawab untuk membentuk peribadi yang mulia yang memberi penekanan kepada soal nilai hidup yang mulia dan mencorakkan budaya yang berteraskan kecemerlangan. Dengan perkataan lain pendidik bertanggungjawab menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, sesuatu negara, atau sesuatu tamadun. Justeru, amat penting sekali pendidik sendiri dilatih dalam bidang pembentukan nilai dan budaya kepada pelajar di bawah mereka. Tetapi bagaimanakah nilai dan budaya ini akan diketahui oleh pendidik? Untuk itu, pensyarah perlulah dilengkapi dengan pengetahuan berkenaan peranan budaya dan nilai hidup dalam menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa

Pengajar dan pensyarah perlu menyampaikan kepada penuntut nilai-nilai yang perlu diterapkan dan menjelaskan budaya yang hendak dibentuk. Dengan itu pendidik yang mendidik anak-anak kita akan berjaya menyemaikan nilai-nilai yang mulia di kalangan generasi akan datang dan membentuk budaya yang sesuai bagi menghadapi pelbagai cabaran alaf baru, agar bangsa kita terus utuh dan teguh.

dipetik daripada www.utusan.com.my

Pendidik Merealisasikan Akademik Terbilang.

Pendidik adalah arkitek sosial yang mempunyai agenda besar dalam melaksanakan proses pendidikan secara berkesan. Fokus utama perlu ditumpukan terhadap aspek perkembangan emosi, keluhuran rohani, kekuatan mental, keutuhan keimanan dan ketakwaan, kemantapan budaya dan moral, kemampanan jati diri dan semangat patriotik yang kental. Dalam proses membina agenda ini, pendidik mestilah berjiwa besar kerana tugas ”memanusiakan manusia” ini adalah sangat kompleks dan mencabar.

Sebahagian besar pemikir dan penulis futuristik bersetuju bahawa negara yang bercita-cita tinggi dan mahu memimpin abad ke-21 mestilah membangunkan generasi bermaklumat, berpengetahuan, saintifik dan berbudaya sains serta tinggi budaya ilmu. A.Toffler (1980), Stonier (1983), Naisbitt (1983), Higgin (1998), Valida (2000) dan Anderson (2000) telah merumuskan bahawa komuniti berilmu akan menguasai abad ke-21 kerana kecemerlangan pengetahuan, kekayaan maklumat dan berbudaya saintifik.

Kerjaya pendidik masakini adalah semakin mencabar dalam membentuk pelajar yang mampu mendepani cabaran semasa. Harapan ini adalah selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, gagasan negara Wawasan 2020. Matlamat pendidikan telah digariskan seperti berikut:

-Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
-Melahirkan insan berilmu, beriman, berakhlak mulia, dan berketrampilan.
-Menyediakan sumber tenaga manusia untuk kemajuan negara.
-Memberikan peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

Pendidik masa kini mestilah mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Pendidik juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.”

Dipetikan daripada Buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang.

Keberkesanan penerapan nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Memandangkan penerapan nilai telah lama dilaksanakan dikalangan pelajar, baik melalui ibubapa, guru ataupun masyarakat, hari ini kita telah dapat melihat beberapa bukti yang menunjukkan sejauhmana keberkesanan ataupun ketidakberkesanan penerapan tersebut.

Adakah matlamat FPN untuk melahirkan insan yang seimbang dan hamonis telah terccapai? Jawapannya, "Ya" dan "Tidak", ini kerana walaupun penerapan nilai telah disemai dan dilaksanakan namun masih ada yang tidak mengamalkannya walaupun mereka telah menerimanya. "Ilmu tanpa Amal", tiada ertinya.

Antara bukti keberkesanan yang telah kita dapat lihat pada hari ini ialah semakin ramai golongan remaja kita yang berakhlak mulia walaupun mereka dipengaruhi oleh pelbagai godaan untuk memencongkan nilai murni pada diri manusia. Golongan remaja yang awal 20-an sekarang adalah mereka yang telah diterapkan dan diberi penekanan mengenai penerapan nilai-nilai murni semasa di sekolah dahulu. Hasilnya kita lihat pada hari ini adanya kesedaran daripada golongan remaja sendiri untuk membenteras kepincangan yang dihadapi oleh segelintir rakan mereka yang masih dipengaruhi oleh nilai yang tidak elok. Misalnya, dalam industri muzik yang sentiasa mengulit remaja dengan lagu-lagu dan muzik terkini seperti rock, dang-dut, dan lain-lain. Tapi ada juga remaja yang sedar dan cuba menarik dan menutupinya dengan mengalunkan lagu-lagu dakwah dengan memuji kebesaran Illahi seperti kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, Hawa dan sebagainya. Perkembangan kumpulan pemuzik dakwah ini sekurang-kurangnya menunjukkan adanya kesedaran dan kejayaan pemupukan nilai murni.

Dari segi ekonomi misalnya, kanak-kanak sekolah begitu perihatin terhadap kelemahan dan kesusahan orang lain. Penerapan nilai murni yang mereka terima membantu menyedarkan mereka untuk menderma, menolong dan perihati terhadap masalah yang wujud tanpa mengira siapa. Contohnya, "Derma Hari Pahlawan" yang selalu di buat oleh kanak-kanak sekolah , menunjukkan disamping mereka menderma mereka bekerjasama membantu memungut derma tersebut. Ini menunjukkan satu inesiatif yang baik dalam menyemai nilai-nilai murni.

Anugerah "Tokoh Kanak-kanak", "Pingat Hang Tuah", "Olahragawan dan Olahragwati" dan lain-lain anugerah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan keberkesannanya kerana penganugerahan itu diberikan berdasarkan kepada sikap, sifat dan pencapaian yang baik yang ditunjukkan.

Yang paling jelas kita lihat sekarang ialah nilai saling hormat menghormati yang ditunjukkan oleh remaja kita kepada ahli masyarakat. Melalui penerapan nilai di sekolah-sekolah, ramai pelajar yang dapat menerimanya. Misalnya mereka prihatin dalam menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka pandai menyesuaikan diri dalam sesuatu kelompok tertentu agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Namun demikian tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua nilai-nilai murni yang diterapkan di sekolah-sekolah atau di rumah itu diterima pakai oleh pelajar kita, sebab masih ada yang menunjukkan kesan yang negatif. Masalah-masalah sosial yang semakin meningkat sekarang menunjukkan kesukaran mereka melaksanakan nilai-nilai murni tersebut walaupun mereka mengetahuinya, tetapi tidak dipraktikan. Ini berpunca daripada beberapa faktor tertentu seperti ibubapa, institusi sekolah sendiri, guru dan masyarakat dan pelajar itu sendiri.

Ibubapa misalnya mereka walaupun telah menyemai dan menanam nilai-nilai murni dalam jiwa anak mereka tetapi tidak menggalakkan mereka untuk mengamalkan adalah sesuatu yang tidak wajar.

Begitu juga guru-guru dan masyarakat. Mereka tidak begitu memberi perhatian terhadap nilai-nilai yang asas atau kecil. Mereka memandang ringan atas beberapa kesilapan kecil yang dilakukan dan kurangnya penerapan. Guru misalnya, mereka sekadar mengajar mengenai nilai-nilai murni kepada pelajar sedangkan mereka sendiri tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Sikap individu atau pelajar sendiri yang ambil mudah (sambil lewa) terhadap penerapan nilai murni ini. Misalnya mereka mempelajari sesuatu subjek itu adalah sekadar exam-oriented, hanya untuk lulus peperiksaan, bukannya memahami dan mempraktikkan apa yang dipelajari. Ada segelintir pelajar yang suka dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara, maka dengan tidak adanya paksaan samada dari ibubapa ataupun guru menyebabkan mereka melalaikannya.

Rujukan:
Dr. Tajul Ariffin Nordin & Dr. Nor Aini Dan (1992). Pendidikan dan Wawasan 2020. Arena Ilmu Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.

Dr. Hussien Hj. Ahmad (2003). Jurnal Pengurusan Pendidikan. Perihal Pendidikan dan Falsafah di Malaysia.

Video Falsafah Pendidikan Negara

Menghargai Sistem Pendidikan Negara

Pendidikan adalah begitu hampir dengan hati setiap rakyat. Disebabkan itu, bila timbul sebarang isu mengenai pendidikan, kita dapat mendengar pelbagai pihak memberikan pendapat dan pandangan masing-masing. Tidak kurang pula yang membandingkan sistem pendidikan negara dengan sistem pendidikan negara lain dan dalam banyak keadaan mereka akan mencemuh sistem pendidikan negara. Benarkah sistem pendidikan negara kita ketinggalan berbanding negara lain? Dalam banyak keadaan boleh dikatakan kenyataan ini tidak benar. Sebaliknya sistem pendidikan negara diiktiraf sebagai salah satu sistem yang terbaik di dunia dan banyak pihak yang cuba mempelajari dan mencontohinya. Walaupun sistem pendidikan kita berasal dari sistem pendidikan Inggeris, tetapi sejarah, latar belakang kaum dan agama, sensitiviti politik dan keperluan guna tenaga negara telah menyebabkan ia berevolusi dengan begitu pesat sekali.
Dari beberapa segi, sistem pendidikan negara agak berbeza berbanding dengan negara-negara yang dijadikan contoh oleh pengkritiknya. Pertama, kita perlu menghargai hakikat bahawa sistem pendidikan negara amat berpusat berbanding dengan negara Barat seperti United Kingdom.Sistem yang terlalu berpusat mungkin mempunyai sejumlah kekurangan, tetapi perlu diingat bahawa ia juga mempunyai kekuatan dan kelebihannya tersendiri. Salah satu daripada kelebihannya adalah, kita berkebolehan untuk mengadakan ekuiti di sekolah-sekolah tanpa mengira lokasinya.
Misalnya, bila terdapat keperluan untuk pembaharuan, kita terpaksa menerima hakikat bahawa sebarang bentuk perubahan akan memberi kesan terhadap lima juta pelajar, 320,000 orang guru dan hampir 10,000 buah sekolah yang berbeza, bukan sahaja dari segi saiz dan lokasi, malah infrastruktur dan keperluan guru. Bagi negara-negara dengan sistem pendidikan tidak berpusat, polisi boleh dirangka secara umum untuk dilaksanakan oleh autoriti pendidikan tempatan dan di negara tertentu oleh sekolah itu sendiri. Bagaimanapun, bagi negara dengan sistem pendidikan berpusat, kita tidak dapat mengelak untuk mengambil pendekatan satu saiz untuk semua. Melalui pendekatan ini, secara tanpa sedar, dalam kebanyakan keadaan, jika tidak semua, kita akan terlepas pandang, keperluan golongan yang berada di atas purata dan di bawah purata semasa menyediakan keperluan pengajaran dan pembelajaran. Contoh yang nyata adalah penghasilan perisian kursus PPSMI yang mungkin terlalu susah diikuti di sekolah di luar bandar tetapi terlalu senang bagi anak-anak di bandar.
Kedua, selain sistem berpusat, saiz Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang secara relatifnya besar menyebabkan banyak masa diambil untuk menyampaikan sesuatu mesej merentasi kementerian. Apa lagi bagi melaksanakan sesuatu projek dan program. Kerenah birokrasi akan melambat dan melengah-lengahkannya lagi. Mujurlah ada cetak biru KPM, iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2006 - 2010, yang meletakkan semua perancangan dasar dan pelaksanaan projek dan program pendidikan dalam bentuk hitam putih, lengkap dengan jadual pelaksanaannya sebagai garis panduan.
Ketiga, rupa bentuk geografi negara boleh menjadi satu cabaran yang sukar untuk melaksanakan dengan sempurna segala program dan projek pendidikan yang dirancang. Misalnya, dari 10,000 buah sekolah, hampir 2,200 merupakan sekolah kurang murid yang berada di luar bandar dan pedalaman.
Untuk menghantar dan memasang televisyen 29 inci di kawasan pedalaman sahaja sudah merupakan cabaran yang amat besar. Pada satu ketika set televisyen yang hendak dihantar ini berada elok di sisi kita di dalam sampan. Pada ketika yang lain, semasa air sungai cetek, bukan sahaja set televisyen, malah sampan juga mungkin sudah berada di atas bahu kita.
Jika menghantar set televisyen sudah menjadi masalah bayangkan pula masalah untuk mengadakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah pedalaman yang mempunyai isu bekalan elektrik 24 jam dan sistem pendawaian yang kurang efisien.
Keempat, sumber negara agak terhad. Negara kita bukan seperti negara jiran, Singapura yang mempunyai KDNK yang jauh lebih tinggi dan jumlah sekolah yang jauh lebih sedikit, iaitu sekitar 300 buah sahaja. Kita mempunyai KDNK yang lebih rendah, tetapi perlu mengagihkan peruntukan secara adil ke semua 10,000 buah sekolah dan mengadakan subsidi pendidikan yang secara relatifnya begitu besar untuk lima juta orang anak-anak kita di sekolah.

Rujukan daripada Portal Pendidikan Utusan.

Teori Pendidikan Modern dalam Islam

Teori pengasuhan dan pendidikan modern berkembang sangat pesat di negara-negara barat. Seperti pengetahuan esakta dan teknik, ilmu pendidkan dan psikologi berkembang dimaksudkan untuk mempermudah manusia dalam memecahkan masalah-masalah dalam kehidupannya.

Tujuan pendidikan di dalam islam sebenarnya lebih lengkap karena tujuan pendidikan tersebut adalah mendidik anak menjadi manusia yang sempurna baik intelektual, emosional dan spiritual agar hidup bahagia di dunia dan akhirat. Teori yang dijamin benar didalam pendidikan dan psikologi adalah alqur’an dan Hadist, sehingga sebagai umat Islam kita harus merujuk pendidikan dan psikologi ini kepada dua sumber tersebut. Teori dari Qur’an dan Hadist berisi teori dan metode yang bersifat umum, sehingga dalam tingkat teknis dan operasionalnya harus dikembangkan oleh manusia itu sendiri, ini yang kemudian kita jumpai l sebagai teori pendidikan, psikologi yang berkembang di barat.
Teori pendidikan dan psikologi modern ini merupakan hasil usaha manusia yang bersifat ilmiah berdasarkan temuan, eksperimen serta pengalaman empiris, tentu saja sifatnya tidak absolut sehingga bisa saja teori ini berubah dalam perjalanannya. Apa yang baik dan benar pada suatu waktu dan suatu tempat belum tentu benar di waktu dan tempat yang lain. Tapi bukan berarti kita tidak boleh sama sekali menengok teori atau metoda pendidikan dan pembelajaran yang berkembang pesat dalam psikologi Modern. Mengabaikan sama sekali temuan-temuan ilmiah membuat kita kehilangan kesempatan untuk mengoptimalkan tugas kita sebagai orang tua. Tidak sedikit temuan-temuan ilmiah lebih memudahkan kita menjalankan dalil-dalil wahyu (Quran dan Hadist). Kadang dalil wahyu memberi panduan yang bersifat prinsip dan umum sehingga pengetahuan kita tentang psikologi modern dapat memudahkan kita menerapkannya pada tingkat teknis dan operasional.
Rujukan:
Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.

Sejarah Pendidikan Jasmani dan Sukan di Malaysia


Perkembangan pendidikan jasmani di Malaysia dibahagikan kepada tiga peringkat yang besar:

1. Sistem pendidikan asal, iaitu system pendidikan yang telah ada sebelum kedatangan pengaruh Barat.

2. Zaman penjajahan menghasilkan pendidikan yang formal yang telah menghasilkan pertumbuhan sekolah-sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan India. Zaman ini berlanjutan hingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

3. Zaman pendidikan moden, iaitu zaman selepas medeka.

Sebelum datangnya pengaruh pendidikan Barat, sistem pendidikan merupakan sistem yang tidak formal seperti kelas-kelas agama dan al-Quran, kelas kesenian dan pertukangan. Sistem ini tidak memberatkan ciri-ciri pendidikan secara formal. Oleh itu, tidak ada langsung pendidikan jasmani.

Sistem pendidikan yang formal diperkenalkan di negara ini selepas kedatangan Inggeris di negeri-negeri Selat. Ini adalah usaha penganjur Kristian dan Kompeni Inggeris. Sekolah yang pertama didirikan di Tanah Melayu ialah Penang Free School yang ditubuhkan dalam tahun 1816. Usaha mendirikan sekolah ini dibuat oleh Rev. R.S Hutching. Sekolah itu ialah dibawah pengelolaan Kompeni Inggeris. Pendidikan jasmani tidak dijalankan lagi.

Sehingga tahun-tahun 1920-an masih belum ada sistem dan sukatan pelajaran yang formal walaupun peajaran pendidikan jasmani mula diajar secara tidakm formal. Keutamaan diberi kepada aktiviti senaman, latihan kawat dan permainan yang membawa pengaruh penjajahan Inggeris. Tahun 1924 dilantik seorang pengusaha pendidikan jasmani untuk negeri-negeri Selat.

Sungguhpun begitu, sukatan pelajaran pendidikan jasmani belum tersusun. Guru-guru yang tidak pernah menerima latihan pendidikan jasmani ditugaskan mengajar pelajaran itu. Tahun-tahun 1930-an barulah usaha rancangan pendidikan jasmani untuk sekolah-sekolah dimulakan. Sukatan pelajaran itu merupakan asas untuk pelajaran pendidikan jasmani di Tanah Melayu. Ia berdasarkan kepada sukatan pelajaran Latihan Fizikal untuk sekolah-sekolah Inggeris di England, yang mana telah diperkenalkan dalam tahun 1933. Siri buku-buku Jefferson, How To Teach Physical Training dijadikan asas sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani. J.W Jefferson yang dilantik sebagai penguasa pendidikan jasmani dalam tahun 1932, telah melancarkan rancangan latihan guru pendidikan jasmani ke seluruh negara. Kursus-kursus dalam perkhidmatan diadakan di seluruh negara. Tahun 1946-48, suatu sukatan yang formal untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah. Sukatan ini diterbitkan oleh Maktab Perguruan Sultan Idris, (MPSI) Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Sistem latihan guru pendidikan jasmani dilancarkan secara berperingkat-peringkat, iaitu dari peringkat 1 hingga peringkat 4.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan pengaruh penjajahan Inggeris dalam perkembangan pendidikan jasmani. Gimnastik, sukan dan rentakrama merupakan bahagian program-program yang terdapat di sekolah-sekolah rendah, sementara di sekolah-sekolah menengah, Inggeris memajukan satu program yang serupa dengan yang terdapat di negara-negara Asia di bawah British Komanwel. Bola sepak, bola keranjang, berenang d tenis adalah popular tetapi permainan badminton paling popular. Pada tahun 1952 guru-guru tempatan mula dihantar ke luar negara untuk meluaskan pengetahuan mengenai pendidikan jasmani. Setahun kemudian, Pendidikan Jasmani dimasukkan sebagai satu mata pelajaran bagi kursus asas dan pilihan utama di Kirby.

Kemudian diadakan pula kursus pendidikan dan kesihatan di Kirby dan Brinsford, England. Tahun 1955, Jawatan Penguasa Pendidikan Jasmani diambil oleh anak tempatan iaitu, En. Teoh Teik Lee. Pada tahun 1958, bahagian Penguasa Pendidikan Jasmani dipindahkan kepada Bahagian Nazir Sekolah-sekolah dan juga disatukan dengan Bahagian Latihan Guru. Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani IPSI dikekalkan dalam tahun 1950-an dengan beberapa penyesuaian dan pindaan.

Pada tahun 1960, B.E Chamber diganti oleh E.D Clay sebagai Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan, Bahagian Pendidikan Jasmani. Sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dikaji semula dan wujudlah sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan pada tahun 1966. Kursus tambahan, satu tahun Pendidikan Jasmani diadakan di Maktab Perguruan Ilmu Khas pada tahun 1960. Kemudian, diikuti dengan kursus tambahan untuk guru-guru perempuan dalam tahun 1961. Pada tahun 1971, sukatan pelajaran disemak semula,kemudiaanya sukatan itu dikeluarkan dalam 2 bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Sukatan ini lebih dinamik dan berkesan kerana memberatkan kepada kesan,pergerakan dan kemahiran. Dimasukkan juga aspek-aspek moden seperti tarian moden atau tarian pendidikan dan gimnastik untuk perempuan.

Falsafah Pendidikan Negara.


Falsafah Pendidikan Negara digubal bagi melahirkan para pelajar yang bestari. Dengan merujuk kepada matlamat, objektif serta organisasi kandungan-jelaskan pernyataan tersebut:

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FTK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERI. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.
Berikut adalah teks lengkap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.
FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.
Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.
Rujukan
Abdullah Sani dan P.Kumar (1990). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Longman Malaysia.
Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (2004). Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Kayazano Enterprise.

Tuesday, August 10, 2010

perpaduan

Reformasi pendidikan

MBMMBI

Kerajaan akan melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Program MBMMBI akan juga memperkukuh pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui kurikulum baru dengan memberi penekanan kepada lima bidang utama kemahiran iaitu membaca, mendengar dan berucap, menulis, tatabahasa, dan seni bahasa. Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran bahasa Inggeris ditambah daripada 4 jam kepada 5.5 jam seminggu untuk Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3), dan daripada 3.5 jam kepada 5 jam untuk Tahap 2 (Tahun 4 hingga 6) di peringkat sekolah rendah. Sebanyak empat daripada 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) akan menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kepada guru. Kerajaan akan menilai dan memantau keberkesanan program secara berterusan dan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Memantapkan Penguasan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam tempoh Rancangan. Program ini bertujuan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris untuk memperkukuh daya saing negara. Program ini akan mengguna pakai pendekatan modular yang bersepadu dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan akan memperluas pengajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah rendah.

Dipetik daripada Rancangan Malaysia Ke-10 daripada halaman 12-13.