Thursday, August 12, 2010

Pendidik Membentuk Generasi Mulia.

Pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan generasi yang akan mengambil alih tugas dan peranan daripada generasi semasa. Matlamat dasar pendidikan bukan semata-mata bertujuan untuk membekalkan generasi baru dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk menyemai nilai-nilai hidup yang boleh menentukan jaya atau tidaknya masyarakat dan bangsa masa hadapan. Jika nilai-nilai yang disemai itu murni dan bermoral , maka akan terbentuklah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai tersebut. Sebaliknya, jika nilai-nilai yang diterapkan tidak berlandaskan etika moral dan akhlak yang terpuji, masyarakat kita di masa hadapan akan mengalami keruntuhan dari segi moral. Hal ini kita maklum telah berlaku di negara-negara yang dikatakan maju. Masyarakat tersebut kini mula sedar tentang peri pentingnya nilai-nilai murni sejagat dan oleh kerana itu Islam kian berkembang ikutannya di negara-negara tersebut. Di Malaysia, usaha menerapkan nilai-nilai Islam telah lama diperkenalkan. Dasar ini akan terus dipertingkatkan untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan etika moral yang tinggi dalam kehidupan. Kerajaan berharap dasar ini akan mampu membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, yang menekankan nilai-nilai positif dan seimbang dalam apa juga tindakan.

Dalam aspek pendidikan, adalah menjadi hakikat bahawa ibu bapa bertanggungjawab untuk menyemai nilai- nilai hidup yang baik. Akan tetapi sistem pendidikan mampu menyediakan orang-orang yang lebih terlatih, bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga dalam proses menyemai dan menerap nilai- nilai murni dan pembentukan akhlak mulia. Oleh kerana itu Kerajaan telah lama memperkenalkan konsep kepimpinan melalui tauladan. Penuntut memerlukan contoh atau role model untuk mereka ikuti. Justeru, sistem pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyediakan tenaga pendidik yang mampu membentuk generasi baru, yang bukan sahaja lebih berpengetahuan tetapi juga mempunyai peribadi yang unggul sebagai contoh ikutan masyarakat yang rata-rata memandang tinggi terhadap golongan pelajar.

Pendidik bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada murid dan penuntut. Pendidik bertanggungjawab untuk membentuk peribadi yang mulia yang memberi penekanan kepada soal nilai hidup yang mulia dan mencorakkan budaya yang berteraskan kecemerlangan. Dengan perkataan lain pendidik bertanggungjawab menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, sesuatu negara, atau sesuatu tamadun. Justeru, amat penting sekali pendidik sendiri dilatih dalam bidang pembentukan nilai dan budaya kepada pelajar di bawah mereka. Tetapi bagaimanakah nilai dan budaya ini akan diketahui oleh pendidik? Untuk itu, pensyarah perlulah dilengkapi dengan pengetahuan berkenaan peranan budaya dan nilai hidup dalam menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa

Pengajar dan pensyarah perlu menyampaikan kepada penuntut nilai-nilai yang perlu diterapkan dan menjelaskan budaya yang hendak dibentuk. Dengan itu pendidik yang mendidik anak-anak kita akan berjaya menyemaikan nilai-nilai yang mulia di kalangan generasi akan datang dan membentuk budaya yang sesuai bagi menghadapi pelbagai cabaran alaf baru, agar bangsa kita terus utuh dan teguh.

dipetik daripada www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment