Showing posts with label Asas Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Asas Pendidikan. Show all posts

Thursday, August 12, 2010

Pendidik Membentuk Generasi Mulia.

Pendidik memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan generasi yang akan mengambil alih tugas dan peranan daripada generasi semasa. Matlamat dasar pendidikan bukan semata-mata bertujuan untuk membekalkan generasi baru dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk menyemai nilai-nilai hidup yang boleh menentukan jaya atau tidaknya masyarakat dan bangsa masa hadapan. Jika nilai-nilai yang disemai itu murni dan bermoral , maka akan terbentuklah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai tersebut. Sebaliknya, jika nilai-nilai yang diterapkan tidak berlandaskan etika moral dan akhlak yang terpuji, masyarakat kita di masa hadapan akan mengalami keruntuhan dari segi moral. Hal ini kita maklum telah berlaku di negara-negara yang dikatakan maju. Masyarakat tersebut kini mula sedar tentang peri pentingnya nilai-nilai murni sejagat dan oleh kerana itu Islam kian berkembang ikutannya di negara-negara tersebut. Di Malaysia, usaha menerapkan nilai-nilai Islam telah lama diperkenalkan. Dasar ini akan terus dipertingkatkan untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan etika moral yang tinggi dalam kehidupan. Kerajaan berharap dasar ini akan mampu membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, yang menekankan nilai-nilai positif dan seimbang dalam apa juga tindakan.

Dalam aspek pendidikan, adalah menjadi hakikat bahawa ibu bapa bertanggungjawab untuk menyemai nilai- nilai hidup yang baik. Akan tetapi sistem pendidikan mampu menyediakan orang-orang yang lebih terlatih, bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga dalam proses menyemai dan menerap nilai- nilai murni dan pembentukan akhlak mulia. Oleh kerana itu Kerajaan telah lama memperkenalkan konsep kepimpinan melalui tauladan. Penuntut memerlukan contoh atau role model untuk mereka ikuti. Justeru, sistem pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyediakan tenaga pendidik yang mampu membentuk generasi baru, yang bukan sahaja lebih berpengetahuan tetapi juga mempunyai peribadi yang unggul sebagai contoh ikutan masyarakat yang rata-rata memandang tinggi terhadap golongan pelajar.

Pendidik bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada murid dan penuntut. Pendidik bertanggungjawab untuk membentuk peribadi yang mulia yang memberi penekanan kepada soal nilai hidup yang mulia dan mencorakkan budaya yang berteraskan kecemerlangan. Dengan perkataan lain pendidik bertanggungjawab menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, sesuatu negara, atau sesuatu tamadun. Justeru, amat penting sekali pendidik sendiri dilatih dalam bidang pembentukan nilai dan budaya kepada pelajar di bawah mereka. Tetapi bagaimanakah nilai dan budaya ini akan diketahui oleh pendidik? Untuk itu, pensyarah perlulah dilengkapi dengan pengetahuan berkenaan peranan budaya dan nilai hidup dalam menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa

Pengajar dan pensyarah perlu menyampaikan kepada penuntut nilai-nilai yang perlu diterapkan dan menjelaskan budaya yang hendak dibentuk. Dengan itu pendidik yang mendidik anak-anak kita akan berjaya menyemaikan nilai-nilai yang mulia di kalangan generasi akan datang dan membentuk budaya yang sesuai bagi menghadapi pelbagai cabaran alaf baru, agar bangsa kita terus utuh dan teguh.

dipetik daripada www.utusan.com.my

Pendidik Merealisasikan Akademik Terbilang.

Pendidik adalah arkitek sosial yang mempunyai agenda besar dalam melaksanakan proses pendidikan secara berkesan. Fokus utama perlu ditumpukan terhadap aspek perkembangan emosi, keluhuran rohani, kekuatan mental, keutuhan keimanan dan ketakwaan, kemantapan budaya dan moral, kemampanan jati diri dan semangat patriotik yang kental. Dalam proses membina agenda ini, pendidik mestilah berjiwa besar kerana tugas ”memanusiakan manusia” ini adalah sangat kompleks dan mencabar.

Sebahagian besar pemikir dan penulis futuristik bersetuju bahawa negara yang bercita-cita tinggi dan mahu memimpin abad ke-21 mestilah membangunkan generasi bermaklumat, berpengetahuan, saintifik dan berbudaya sains serta tinggi budaya ilmu. A.Toffler (1980), Stonier (1983), Naisbitt (1983), Higgin (1998), Valida (2000) dan Anderson (2000) telah merumuskan bahawa komuniti berilmu akan menguasai abad ke-21 kerana kecemerlangan pengetahuan, kekayaan maklumat dan berbudaya saintifik.

Kerjaya pendidik masakini adalah semakin mencabar dalam membentuk pelajar yang mampu mendepani cabaran semasa. Harapan ini adalah selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, gagasan negara Wawasan 2020. Matlamat pendidikan telah digariskan seperti berikut:

-Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
-Melahirkan insan berilmu, beriman, berakhlak mulia, dan berketrampilan.
-Menyediakan sumber tenaga manusia untuk kemajuan negara.
-Memberikan peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

Pendidik masa kini mestilah mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Pendidik juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.”

Dipetikan daripada Buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang.

Tuesday, August 10, 2010

Peringkat Pendidikan

Sekolah tadika (prasekolah) menerima kemasukan kanak-kanak daripada 4-6 tahun. Pengajian tadika bukan merupakan pengajian wajib dalam Pendidikan Malaysia. Namun begitu penubuhan tadika oleh pihak swasta amat menggalakkan. Setakat ini, sebahagian besar Sekolah Kebangsaan mempunyai kelas prasekolah. Namun kemasukan ke kelas ini dibuka kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah. Pendidikan rendah bermula dari tahun 1 hingga tahun 6, dan menerima kemasukan kanak-kanak berumur 7 tahun sehingga 12 tahun.

Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Sekolah rendah awam di Malaysia terbahagi kepada dua jenis, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Kurikulum di kedua-dua jenis sekolah rendah adalah sama. Perbezaan antara dua jenis sekolah ini ialah bahasa pengantar yang digunakan. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan. Bahasa Tamil atau bahasa Mandarin digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan.

Pada akhir tahun persekolahan sekolah rendah, ujian awam diadakan bagi menilai prestasi murid-murid. Ujian awam pada peringkat sekolah rendah dinamakan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Pelajar yang telah menduduki UPSR, dibenarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

Mok Soon Sang (1991). Pendidikan di Malaysia, Subang Jaya : Kumpulan Budiman.

Ee Ah Meng ( 1987). Pedagogi Untuk Bakal Guru, Petaling Jaya: Fajar Bakti

Sistem Pendidikan di Malaysia

Sistem pendidikan di Malaysia adalah berdasarkan sistem pendidikan Inggeris. Pendidikan Malaysia boleh didapatkan dari sekolah tanggungan kerajaan, sekolah swasta atau secara sendiri. Sistem pendidikan dipusatkan terutamanya bagi sekolah rendah dan sekolah menengah. Kerajaan negeri tidak berkuasa dalam kurikulum dan aspek lain pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah, sebaliknya ditentukan oleh kementerian. Terdapat peperiksaan piawai yang merupakan ciri yang biasa bagi negara-negara Asia seperti di Singapura dan China.


Pendidikan Malaysia terdiri daripada beberapa peringkat:

* Prasekolah

* Pendidikan rendah

* Pendidikan menengah

* Pengajian tinggi

Hanya pendidikan di sekolah rendah diwajibkan dalam undang-undang. Oleh itu, pengabaian keperluan pendidikan selepas sekolah rendah tidak melanggar undang-undang. Sekolah rendah dan sekolah menengah diuruskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi dasar yang berkenaan dengan pengajian tinggi diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2004. Sejak tahun 2003, kerajaan memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran yang berkenaan dengan Sains.

Abd. Fatah Hasan. (2001). Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Abd. Rahim Abd. Rashid. (2000). Wawasan & agenda pendidika. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. (2008). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.